Greetings!
Dedikasi khas untuk Tapak Warisan Dunia UNESCO Lenggong 2012.
Lembah Lenggong telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO pada 30 Jun 2012 disebabkan keunikan dan keistimewaan prasejarah Lembah Lenggong. Lembah Lenggong terletak di daerah Hulu Perak, kira-kira 50 km dari utara Kuala Kangsar, 90 km dari Ipoh dan 52 km dari Gerik yang berkeluasan 9773 hektar dan luas keseluruhan kawasan yang diiktiraf sebagai kawasan Tapak Warisan Dunia adalah seluas 2185.41 hektar.
Terdapat empat nilai universal (Outstanding Universal Values) yang telah menjadikan Lembah Lenggong dipilih dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia. Pertama, Lembah Lenggong mempunyai rentetan kebudayaan yang terpanjang kronologinya bagi satu lokasi di dunia. Bukti kewujudan berterusan homonid di Lembah Lenggong ditemui pada siri kronologi yang panjang di tapak bengkel peralatan batu di kawasan lapang in-situ, bermula dari Bukit Jawa (200 000-100 000 tahun), ke Kota Tampan (70 000 tahun) dan seterusnya hingga ke Bukit Bunuh (40 000 tahun). Kedua, terdapat banyak dan pelbagai jenis bengkel peralatan batu in-situ yang tidak diusik, yang ditemui di Lembah Lenggong. Ketiga, penemuan Perak Man, rangka Paleolitik unik dengan Brachymesophalangia jenis A2 di Gua Gunung Runtuh yang merupakan rangka paling lengkap yang ditemui di Asia Tenggara yang mewakili kehidupan 10 000 tahun dahulu. Akhir sekali, semua sumber arkeologi yang diperoleh berdasarkan bukti secara tidak langsung seperti peralatan batu Paleolitik yang terpelihara, contohnya kapak dan alat toreh diselaputi suevite cair yang terhasil daripada hentaman meteorit di Bukit Bunuh yang berusia 1.83 juta tahun lalu membuktikan kewujudan awal homonid di luar benua Afrika.
Galeri Arkeologi Lenggong, Perak |
Selain itu, Lembah Lenggong memiliki 72 tapak gua batu kapur, khasnya Gua Gunung Runtuh, Gua Harimau, Gua Kajang, dan Gua Teluk Kelawar yang memberikan maklumat tentang penggunaan gua oleh masyarakat prasejarah sebagai tempat pengebumian dan tempat tinggal dengan pelbagai aktiviti kehidupan. USM telah menemui bukti Paleolitik, Neolitik dan Logam di gua-gua tersebut. Keistimewaan artifak prasejarah yang diperbuat daripada batu, tanah liat, dan gangsa yang secara langsung menggambarkan kemajuan dan perkembangan teknologi masyarakat di Lembah Lenggong. Pelbagai jenis dan bentuk alat batu dan tembikar hasil seni yang bermula pada zaman prasejarah. Lembah Lenggong telah mendedahkan bukti-bukti penting kepada arkeologi dunia sebagai satu-satunya kawasan kehidupan zaman prasejarah yang digunakan berterusan dari semasa ke semasa sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu. Bukti prasejarah Lenggong terlalu unik dan istimewa. Kesemuanya boleh dilihat dalam pameran di Galeri Arkeologi Lenggong, Perak.
Tapak warisan dunia UNESCO Lembah Lenggong perlulah diurus, dijaga dan diketengahkan supaya warisan ini tidak tenggalam pada arus kemodenan masa kini. Lembah Lenggong bukan sahaja terkenal dengan arkeologinya sahaja, terdapat pelbagai perspektif yang istimewa dan unik berkaitan Lenggong antaranya ialah makanan, tempat pelancongan, kraftangan dan komuniti tempatan. Keistimewaan ini akan dibincangkan kemudian pada entry yang lain.
Rujukan:
Sakinah Abu Bakar (Ed.). (2015). Lembah Lenggong dari Pelbagai Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zuraini Zakaria (Ed.). (2015). Prospek pelancongan di Lembah Lenggong. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Love to write,
NNatikah26
13/7/18
No comments:
Post a Comment